Friday 21 November 2008

Sekapur Sireh

fTanggal 8 Januari 2003, bermulalah lembaran baru dalam hidupku sebagai seorang pelajar di sebuah instituisi ternama di tengah-tengah bandar Ipoh. Harapan menggunung daripada ibu bapa dan keluarga membuatkan aku cekal dan tabah mengharungi liku-liku kehidupan dan rona hidup yang jauh sekali berbeza tatkala sebelum menjejakkan kaki ke bumi STAR yang tercinta. Pertama kali aku melihat alma mater ini yang berdiri gah walaupun usianya mencecah hampir setengah abad, aku berjanji pada diriku sendiri, akan ku gapai segala bintang yang bersinar di dada Sang Biru yang terbentang luas sejauh pandangan mata.

Buat malam pertama kalinya aku berjauhan dengan ciuman kasih ibu dan pelukan sayang ayah, aku mula goyah. Rindu menusuk-nusuk di setiap lapisan hati terhadap mereka tetapi dengan segala kudrat yang ku ada, aku mampu menanganinya. "Ah, mereka hanya hilang di pandangan sementara, bukan selamanya. Aku tahu, mereka akan senantiasa menemaniku ke mana jua di setiap ruang pelusuk hatiku", aku bermonolog sehingga hanyut di tengah badai malam yang sunyi dan sepi.

Seminggu berorientasi. Pelbagai pertandingan diharungi bersama hampir 100 rakan baru dari serata negeri. Masih segar di fikiranku apabila aku dinobatkan sebagai 'Pelajar Berpakaian Paling Kemas' oleh Pak Uda, seorang guru kaunseling yang bertauliah di rantau STAR. Terima kasih ayah dan ibu kerana selalu mengajar dan mendidikku agar menjadi orang yang dipandang tinggi. Nasihatmu akan ku sematkan hingga ke nafas terakhirku .

Pagi keesokannya, bermulalah era baru alam persekolahan. Berbaju dan berseluar putih bersih beserta kasut kulit hitam, aku melangkahkan jejak pertama ke perhimpunan pagi di dewan utama sekolah. Ucapan tahniah bertalu-talu di garapkan kepada pelajar Tingkatan 1 waktu itu oleh warga pendidik STAR yang berdedikasi. Terima kasih, cikgu. Gembiranya waktu itu, hanya kami yang tahu. Namun, tawa gembira itu tidak kekal sehingga ayahanda pengetua memberi ucapan. Beliau memberitahu bahawa jika kami mendapat gred 'B' dalam peperikasaan, kami juga akan didenda berlari seperti mana abang-abang senior yang gagal melepasi tanda aras (benchmark: gred A) ,50 pusingan padang sekolah yang berukuran 2 padang bola, 2 padang ragbi dan 1 padang hoki. Ya Allah, apakah ini? Aku optimis. Mungkin inilah cabaran sebagai pelajar sekolah elit, yang menjadi kayu ukur STAR untuk memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang. Sekalung penghargaan kepada Tuan Haji Ariffin yang telah menaikkan martabat STAR di bumi Malaysia. Persaraanmu pada tahun 2004 tidak menjadi penghalang untuk warga STAR meneruskan tradisi kecemerlangan tersebut.

Untuk rakanku yang bernama Ahmad Fahmi Adzfar (Opel), terima kasih kerana menjadi orang pertama yang ku kenal. Semoga kenangan bersama tidur di katil 'double-decker' akan kekal hingga ke akhir hayat.

Labels:

1 Comments:

Blogger heqing said...

a great and sweet memory ya??
although apart frm parents...
u oso overcome it din u??
5 years...
not a long time...
but its really give many sweet memories to you.....
lik me oso...
miss my school vry much...
although im in sekolah harian...
although i anti-SBP(dun gt angry with tis har....)
but secondary school time really a great time in my life....

24 November 2008 at 20:46  

Post a Comment

<< Home